Memang terasa sangat kasihan kepada isteri kerana terpaksa melalui detik-detik ini demi mendapatkan zuriat. Andailah saya dapat menggantikan tempat isteri untuk melakukan pembedahan, pasti saya akan gantikan tempat isteri dan melakukan pembedahan itu.
Doktor memberikan tarikh untuk pembedahan di HTAA. Pembedahan ini mendapat tarikh yang cepat berikutan merupakan kes kecemasan dan berisiko tinggi sekiranya dilambatkan. Pembedahan ini kami tidak maklumkan kepada sesiapa supaya tidak mahu merisaukan keluarga yang lain.
Mujurlah kami tidak memberitahu perihal positif mengandung kepada ibu bapa dan keluarga lain. Jika tidak, pastinya ibu bapa yang sudah terlalu gembira menjadi sedih dan murung disebabkan kandungan tiada didalam rahim. Jika kisah kandungan tiada didalam rahim diketahui ramai pula, pasti ada cerita kandungan hilang diambil jin dan sebagainya. Wallahu'alam, kuasa ALLAH semuanya boleh berlaku.
Alhamdulillah, pembedahan berlangsung dengan lancar tanpa sebarang masalah. Selesai pembedahan, doktor memberikan penerangan ringkas kepada isteri. Menurut doktor, mereka tidak dapat mencari kantung melalui pembedahan tersebut. Mereka juga agak pelik dengan kes kami. Kemungkinan yang ada pada ketika itu cumalah kantung mungkin tidak melekat dengan kukuh dan terkeluar dari rahim dan faraj tanpa kami sedari, atau kantung tersebut mereput secara semulajadi disebabkan tidak sempurna.
Tidak mengapalah. Bukan rezeki kami lagi untuk memiliki anak. Selesai pembedahan, kami mengambil keputusan untuk berehat dahulu dari rawatan untuk memulihkan kecederaan pembedahan isteri dan menstabilkan emosi kami.
Selepas isteri sembuh dan pulih, kami mengambil ayah mertua dengan kami di rumah sewa. Tidak lama tinggal di rumah sewa, rumah yang kami beli sebelum ini telahpun siap. Semasa proses pinjaman perumahan sebelum ini, pembinaan rumah kami telah hampir siap.
Sekitar bulan Oktober begitu, kami pun mendapat kunci rumah. Ketika itu kami selesaikan pemasangan elektrik, air dan grill pintu tingkap. Kemudian kami mengecat. Selesai membasuh rumah, sekitar bulan November 2013, kami pun berpindah masuk ke rumah baru.
Kredit gambar blog : www.afzalsukasuki.com |
Sabtu dan Ahad bermulanya hujan lebat siang dan malam. Kami sempat balik ke kampung melawat ibu bapa pada hari sabtu dan ahad tersebut. Isnin hujan masih lebat seharian. Pagi selasa pun masih hujan. Ketika saya keluar hendak ke tempat kerja pada hari Selasa 3 Dis 2013, saya sempat melihat air di sekeliling kawasan perumahan.
Saya fikir mungkin tiada masalah la kerana kawasan perumahan ini telah ditambak tinggi dari tanah asal. Air disekeliling kawasan perumahan ini berada di tanah asal. Tanah asal merupakan kawasan paya. Mungkin sebab ini kawasan ini dipanggil Paya Besar.
Saya pun pergilah kerja seperti biasa. Ketika di tempat kerja sekitar jam 11 pagi, rakan-rakan sekerja yang rumah di taman perumahan lain yang berhampiran taman perumahan kami mula tergopoh-gopoh balik. Katanya air mula naik di taman mereka. Saya masih tidak balik kerana fikir tidak mengapalah agaknya kerana taman saya telah ditambak tinggi.
Semasa itu, taman kami masih belum ada kumpulan whatsapp. Maklumlah baru sebulan masuk ke rumah, masih belum berkenal-kenalan dengan jiran tetangga lagi. Masing-masing masih sibuk dengan kerja ubahsuai, mengecat dan mengemas rumah. Jadi, tiada la dapat apa-apa info dari penduduk yang berada di rumah.
Hampir jam 12 tengah hari, saya terfikir saya harus balik berikutan ada beberapa lagi rakan sekerja yang taman berdekatan mula balik. Apabila bertolak dari ke tempat kerja dan masuk ke bandar, wow! Hampir keseluruhan Bandar Kuantan telah dinaiki air! Ah sudah! Nak lalu ikut mana ni? Laluan yang saya biasa lalu iaitu mengikut jalan Bukit Ubi telah dinaiki air dihapan UTC dan stadium.
Sudahlah kereta saya rendah, bagaimana nak meredah air? Saya mula risau. Pusing punya pusing, dapatlah saya melalui jalan berhadapan Wisma Persekutuan dan lalu dihadapan HTAA. Kemudian balik melalui jalan Permatang Badak. Sepanjang melalui jalan dari Tanah Putih nak ke Permatang Badak, jalan yang menghala ke bandar telah ditutup berikutan jalan telah dinaiki air.
Kereta diletak di bahu jalan yang tinggi. Persimpangan Sg. Isap. Kredit gambar : Blog KONGSAKONGSI |
Jalan yang menghala ke Permatang Badak lebih tinggi dibuka menjadi laluan kontra 2 arus. Bahu jalan pula telah dipenuhi dengan kenderaan penduduk yang meletakkan kenderaan mereka kerana kawasan perumahan mereka dinaiki air.
Ketika baru sampai di rumah |
Sampai di rumah, ayah mertua dan abang ipar saya masih didalam rumah (ketika itu mereka tinggal bersama dengan kami). Phew.. Mujurlah air belum dalam. Jika tidak, pasti lelah teruk ayah mertua nak meredah air. Air paras betis pun dah lelah dia redah sementara nak sampai ke jalan utama. Bukannya dekat juga.
Kedalaman banjir pada tahun itu ialah pada paras dada. Lebih kurang atas sedikit dari mangga kunci rumah tu. Jika luar rumah, hampir paras leher juga la. Kedalaman itu adalah pada hari ke 2/3 banjir. Ketika itu kami dah di pusat pemindahan banjir. Tidak dapat keluar dari pusat pemindahan banjir kerana pusat pemindahan banjir juga dinaiki air.
Alhamdulillah.. 2013 dua ujian besar yang kami hadapi. Semuanya ada hikmah yang tersendiri.. Bersambung...
Sekian, jangan lupa subscribe channel Youtube saya di SUNAN ( https://www.youtube.com/c/SUNANofficial ) . Terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana memberi komen/cadangan kepada Sunan.my. Kami akan berusaha membalas secepat mungkin. Bantu support kami dengan subscribe channel Youtube SUNAN di https://www.youtube.com/c/SUNANmy dan jangan skip google ads.