BABY SUNAN. EPISOD 12 - 2014, CUBA LAGI


    Selepas habis banjir 2013, kami meminta ayah mertua tinggal di rumahnya sendiri di Pekan, Pahang kerana masih trauma dengan banjir. Kebetulan pula rawatan ayah mertua sudah selesai, hanya temujanji untuk pemantauan sahaja. Meskipun begitu ketika hari temujanji di HTAA, kami masih mengambilnya bawa ke HTAA dan uruskan rawatannya.

    Dalam masa yang sama pula, ibu saya perlu menjalani rawatan hyperthiroidnya dengan agak kerap di HTAA. Setiap 6 bulan pula, saya akan bawanya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut. Jadi, saya ingin memberi tumpuan kepada rawatan ibu pula.

Banjir 2014 tidak seteruk 2013

    Disebabkan masih trauma dengan banjir, kami tidak lagi membeli sebarang perabot mahupun tilam. Tidur pun hanya beralaskan tilam yang dapat dari sumbangan kepada mangsa banjir. Penghujung tahun 2014, sekali lagi banjir berlaku. Alhamdulillah banjir tidak seteruk tahun 2013. Alhamdulillah juga bapa mertua tidak tinggal dengan kami. Jika tidak, pasti lebih rumit dan tidak selesa ayah mertua perlu tinggal di pusat pemindahan banjir berhari-hari.

    Selesai episod banjir, kami masih tidak berputus asa. Masih meneruskan rawatan dengan UIA. Beberapa kali kami melakukan proses IUI dengan UIA. Pernah sekali selepas melakukan IUI, isteri lewat datang haid. Kami sangkakan isteri telah hamil. Namun apabila membuat ujian kit kehamilan, masih negatif.

    Bagi mengurangkan tekanan kami dalam usaha memperolehi anak, pada tahun 2015 kami mengambil keputusan untuk berniaga secara sambilan di Car Boot Sales Taman Tas pada setiap hujung minggu. Jadi, kami sibukkan diri dengan berniaga.

Rawatan masih diteruskan secara tradisional dan hospital, tetapi tumpuan lebih adalah untuk mengurangkan tekanan/stress. Kami berniaga macam-macam produk pada ketika itu. Siangnya kami bekerja Isnin hingga Jumaat. Malamnya kami berniaga burger malam Ahad hingga malam Jumaat. Malam Sabtu pula kami berniaga di Car Boot Sale (Jual minyak wangi / inspired perfume).

Siang Sabtu kami balik ke kampung menjenguk ibu bapa. Manakala pagi ahad pula kami menjual ayam goreng di Pasar Tani. Penat? Ya memang penat dan letih. Namun sedikit sebanyak dapat membantu kami melupakan kesedihan belum dikurniakan anak.

 Setelah berniaga sehingga 2018, kami rasa agak penat dan terkejar-kejar. Akhirnya kami behenti berniaga secara beransur-ansur. Mula-mula kami berhenti berniaga ayam goreng. Kemudian kami berhenti berniaga di Car Boot Sale.

Tidak lama kemudian kemudian kami berhenti berniaga burger dan menjual peralatan kepada rakan niaga kami. Selepas berhenti berniaga burger, maka secara rasmi kami telah berhenti berniaga.


Namun begitu, kami masih menyimpan beberapa jenis stok minyak wangi untuk pelanggan tetap kami hingga kini. Kami dalam perancangan untuk menerbitkan semula produk wangian inspirasi atau inspired perfume dan akan dijual melalui platform e-dagang (Shopee dan Lazada).

Berbalik kepada kisah Baby Sunan tadi, setelah kami berhenti berniaga, kami banyak meluangkan masa berjalan-jalan, sesekali pada hari gaji kami pergi menonton wayang di pawagam. Setiap kali gaji, kami juga menikmati makanan yang jarang-jarang mampu dibeli pada hari biasa. Kami balik kampung menjenguk ibu bapa setiap hujung minggu, masak makanan sedap-sedap untuk disantap bersama ibu bapa. Pendek kata, enjoy our life.

Kami cuba untuk membuang kesedihan dan tekanan sebanyak mungkin. Kami nikmati hidup kami. Kami belajar untuk redho dan kami serah selebihnya kepadaNYA.

Bersambung....

EPISOD 13 (KAMING SUN) / EPISOD 11

Sekian, jangan lupa subscribe channel Youtube saya di SUNAN ( https://www.youtube.com/c/SUNANofficial ) . Terima kasih.

Ulasan

Terima kasih kerana memberi komen/cadangan kepada Sunan.my. Kami akan berusaha membalas secepat mungkin. Bantu support kami dengan subscribe channel Youtube SUNAN di https://www.youtube.com/c/SUNANmy dan jangan skip google ads.

HUBUNGI SUNAN.my

Hantar

ARKIB CERITA

IKUTI KAMI