BABY SUNAN. EPISOD 10 - IUI PERTAMA DI IIUM, MERASA DOUBLE LINE!!

Lebih kurang macam ni la. Pinjam gambar BLOG LAIN

   Setelah hampir 2 minggu melakukan IUI, kami secara suka-suka membuat ujian kehamilan. Seperti tidak percaya ianya double line!! Positive!! Cumanya line kedua agak kabur. Seronok bukan main lagi.

    Namun, masih terlalu awal untuk kami teruja. Kami menunggu tempoh temujanji dengan IIUM untuk mengesahkan kehamilan. Tiba di hari yang dinanti, kami ke IIUM dengan penuh debaran. Selepas UPT/Urine Pregnancy Test dan pemerikasaan darah dilakukan, isteri disahkan hamil. Wah, gembira bukan kepalang lagi. Berita gembira ini kami diamkan dahulu. Tidak ceritakan kepada sesiapa lagi.

Contoh kantung hamil didalam rahim(anak panah). Yang hitam tu adalah rahim

    Cuma yang menjadi tandatanya ialah, apabila discan mengapa tiada kantung janin? Seperti contoh didalam gambar di atas, anak panah itulah contoh bentuk kantung janin. Hitam sekelilingnya ialah rahim. Kantung itu ialah ovum yang berjaya senyawa dengan sperma akan melekat di dinding rahim, membesar dan membentuk kantung.

    Doktor kata, mungkin tidak nampak disebabkan usia kandungan masih terlalu awal iaitu baru sekitar 4 minggu. Doktor memberikan tarikh baru utk melakukan pemeriksaan. 4 minggu ini dikira bermula dari tarikh hari pertama datang haid yang terkahir sebelum IUI dibuat.

    Katalah haid hari pertama pada 1hb, haid habis pada 7hb, IUI dibuat pada 14hb kemudian tidak datang haid, kemudian positif UPT. Maka, sekitar hari ke 28 hingga hari ke 35 itulah dikira minggu ke 4 kehamilan. 1hb haid itu sudah dikira hari pertama kandungan. Agak sedih sebenarnya apabila scan tidak nampak apa-apa tanda kehadiran janin. Terasa harapan agak luluh. Namun memegang semangat kata-kata doktor mungkin tidak nampak disebabkan usia kandungan masih baru, kami kuatkan semangat kembali.

    Minggu seterusnya pun masih sama, tiada apa-apa kantung dapat dikesan melalui kaedah scan. Doktor meminta kami melakukan pemeriksaan darah untuk melihat kandugan hormon hCG. Hormon hCG ialah sejenis hormon yang hadir apabila seseorang wanita itu mengandug.

    Bacaan hormon hCG dari minggu ke minggu menunjukkan peningkatan seperti mengandung, namun apabila diimbas masih tidak nampak kantung walaupun telah mencapai minggu ke 5 dan 6. Doktor mengesyaki kandungan bukan dalam keadaan normal kerana bacaan hormon hCG tidak seperti yang sepatutnya. Peningkatan hormon tidak mencapai kadar yang normal.
    Memandangkan bacaan hCG tidak normal dan tidak menemui kantung janin didalam rahim, doktor mengesyaki isteri mengalami kehamilan luar rahim / ectopic pregnancy. Seperti di gambar di atas, kandungan normal mestilah kantung janin (embrio) melekat didalam ruang rahim (uterus).

Contoh kandungan luar rahim dan pembedahan laparoscopic untuk membuang kandungan luar rahim

    Sekiranya kantung tadi tidak melekat didalam rahim, tetapi dia melekat dan membesar di luar dari ramhim, itu dikira kandungan luar rahim dan boleh membahayakan nyawa si ibu. Paling merbahaya ialah sekiranya kantung membesar didalam tiub fallopio atau di ovari. Hal ini boleh membawa maut kepada si ibu tadi. Inilah perkara yang doktor risaukan.

    Seperti contoh gambar di atas, itu bukan gambar hidung ye. Yang seperti hidung itulah rupa rahim didalam perut wanita. Dari hidung itu, ada dua paip kiri dan kanan itulah tiub fallopio dan ketulan yang berwarna putih kiri dan kanan itulah ovari atau kilang yang menghasilkan telur/ovum.

    Lihat tiub sebelah kanan berdekatan ovari, ada seperti bengkak, itulah janin yang membesar didalam tiub. Inilah yang dipanggil sebagai kandungan luar rahim. Rahim/uterus dicipta dapat mengembang berkali ganda dan dapat menampung kandungan hingga besar, tetapi tiub fallopio tidak boleh mengembang seperti rahim.

    Tiub fallopio dan ovari juga berisiko terpaksa dibuang melalui pembedahan sekiranya kantung melekat didalam tiub. Seperti gambar di atas, kandungan tadi dan sebelah tiub terpaksa dibuang bagi menyelamatkan nyawa ibu. Sekiranya tiub tadi pecah sebelum sempat pembedahan dibuat, nyawa si ibu berisiko tinggi akan melayang.

    Dalam kes ini, si ibu masih boleh mengandung kerana masih terdapat satu lagi tiub dan ovari. Jika tiub satu lagi juga terpaksa dibuang, tinggal ovari sahaja, kaedah IVF boleh dibuat untuk hamil iaitu ovum matang boleh diambil dan disenyawakan dengan sperma didalam makmal, kemudian dilepaskan ke dalam rahim.

    Berbalik kepada kisah kami, setelah berkali-kali melakukan imbasan untuk mengesahkan tiada kantung didalam rahim, doktor memanggil kami untuk sesi pemahaman dan motivasi agar kami tidak terlalu kecewa. Isteri telah diberikan satu suntikan untuk menghancurkan janin kerana kantung tidak dapat dikesan didalam rahim, atau di tiub fallopio. Tiada kantung, hanya hormon hSG sahaja yang menandakan kehamilan.

    Doktor juga meminta kami bersedia untuk melakukan pembedahan kecil iaitu pembedahan secara laparoscopic bagi mencari kemungkinan kantung berada ditempat yang tidak dapat dikesan melalui kaedah imbasan. Melalui pembedahan laparoscopic, satu pembedahan kecil dibuat bersebelahan pusat untuk dimasukkan alat laparoscope atau kamera. Dan lubang itu juga akan digunakan untuk memasukkan alat lain untuk membuang kantung.

    Apa boleh buat. Mahu tidak mahu, kami kena bersedia jugalah untuk melakukan pembedahan demi keselamatan nyawa isteri. Kita jumpa pula di episod akan datang, apa hasil penemuan selepas melakukan pembedahan laparoscopic.


Sekian, jangan lupa subscribe channel Youtube saya di SUNAN ( https://www.youtube.com/c/SUNANofficial ) . Terima kasih.

Ulasan

Terima kasih kerana memberi komen/cadangan kepada Sunan.my. Kami akan berusaha membalas secepat mungkin. Bantu support kami dengan subscribe channel Youtube SUNAN di https://www.youtube.com/c/SUNANmy dan jangan skip google ads.

HUBUNGI SUNAN.my

Hantar

ARKIB CERITA

IKUTI KAMI