Kurniaan ini telah kami tunggu selama 10 tahun..
Yang belum bertemu jodoh, yang belum dikurniakan zuriat, usah berhenti berdoa, berusaha dan bertawakal.. Petua mudah yang saya ingin kongsikan ini bukanlah dijamin 100% berjaya, tetapi ianya sebagai salah satu usaha yang anda boleh cuba. Semuanya bergantung kepada rezeki masing-masing. Petua mudah ini bukanlah memudahkan anda perolehi zuriat, tapi memudahkan anda mengamalkannya.
Disaat ini usinya telah 1 tahun 3 bulan, namun saya masih lagi terasa seperti mimpi menerima anugerah ini. Seakan masih tidak percaya.. Kadang kala, saya bertanya kepada isteri “betulkah kita dah ada anak? Ini betul2 anak kita?”. Satu masa dahulu, kami pun hampir berputus asa. Namun begitu, mengenangkan masih ada lagi pasangan yang menunggu lebih lama dari kami, masih ada lagi yang belum bertemu jodoh walaupun umur sudah semakin bertambah, kami belajar untuk redho dan tawakal.
Namun, kami tidak berhenti berusaha. Buat pasangan yang belum dikurniakan cahaya mata, saya nasihatkan jangan berputus asa dan teruskan berusaha. Bukannya menunjukkan saya pandai, tetapi inilah salah satu cabang usaha kami yang saya rasa boleh dicuba oleh anda :
1. DOA - Baiki hubungan anda dengan ALLAH, dengan keluarga dan dengan orang lain. Mulakan dengan doa. Jadikan rutin memohon doa agar dikurniakan zuriat setiap hari. Minta bantuan ibu dan bapa agar mendoakan kita. Doa dari mereka sangatlah power. Minta juga bantuan keluarga dan rakan2 doakan. Jika ada rezeki pergi umrah, doakan di hadapan Kaabah. Jika tidak, kirimkan doa kepada rakan-rakan yang ada rezeki pergi ke umrah.
Jika hubungan baik dengan orang lain, insyaALLAH orang lain tidak kedekut untuk mendoakan kebaikan untuk anda. Saya masih ingat lagi ketika singgah di sebuah surau lama, ada seorang lelaki yang saya tak kenal, malah tak pernah berjumpa pun sebelum ini, tanya saya dah ada anak? saya cakap belum, terus lelaki tersebut menadahkan tangan dan mendoakan zuriat untuk kami. Mungkin doa-doa salah seorang daripada kalian diangkat dan dimakbulkan untuk kami. Terima kasih kepada semua yang telah bantu mendoakan kami. Semoga urusan kalian dipermudahkan.
2. RAWATAN ISLAM / TRADISIONAL - Dapatkan rawatan daripada mana-mana perubatan/perawat islam. Mungkin ada doa, zikir, surah, rutin kehidupan seharian, pemakanan yang sesuai untuk anda dan disyorkan untuk diamalkan sesuai dengan tujuan anda perolehi zuriat. Boleh juga mengurut untuk melancarkan peredaran darah. Perjalanan darah yang lancar agak penting untuk menambah kesuburan.
3. KLINIKAL - Setelah itu, penting untuk anda mengetahui tahap kesihatan/kesuburan suami dan isteri. Dapatkan rawatan klinikal. Boleh pergi ke mana-mana klinik kesihatan. Jika perlu, anda akan dirujuk kepada hospital pakar. Jika berduit, boleh dapatkan rawatan dari hospital/klinik swasta, atau setidaknya di UIA. Part ini agak penting untuk anda berfikiran terbuka. Jangan malu-malu.
PENTING UNTUK ANDA MELAKUKAN UJIAN INI UNTUK MENGETAHUI TAHAP KESUBURAN SECARA FIZIKAL :
a. SUAMI - Ujian kesihatan sperma untuk suami bagi memastikan sperma yang aktif berada tahap mana. Adakah mencukupi atau tidak. Adakah sperma aktif atau tidak.
ISTERI :
Sistem kesuburan wanita agak kompleks. Oleh itu, sangat penting untuk memahami bagaimana sistem itu berfungsi memberikan zuriat, serta penting memastikan tiada masalah untuk sistem kesuburan itu berfungsi. Secara ringkasnya seperti berikut :
b. ISTERI - Agak banyak perkara yang perlu dilihat. Paling utama, tahap kematangan ovum setiap bulan. Cukupkah saiznya, berapa kuantitinya. Untuk mudah difahami, ovum ialah telur. Telur ini perlu disenyawakan dengan sperma, barulah akan menjadi zuriat. Kedudukan ovum ialah berada di dalam ovari. Ovari ini seumpama kilang telur. Jadi, orang2 muda yang kata 'pecah ovari','bergetar ovari' tu, elok cek balik. Hahahaha
c. ISTERI - Kemudian tiub falopio akan diuji bagi memastikan perjalanan perjalanan sperma dari vagina/faraj kepada ovum tadi tidak terhalang. Sperma akan bergerak dari faraj, dan memasuki uterus/rahim dan seterusnya melalui tiub falopio untuk ke kilang telur. Sampai di kilang telur, sperma akan bersenyawa dengan telur yang matang.
d. ISTERI - Setelah itu, uterus/rahim juga akan dilihat bagi memastikan tiada masalah, tiada ketumbuhan asing seperti fibroid dan cyst.
Jika salah satu daripada rantaian sistem reproduksi ini ada masalah atau kekurangan, buatlah rawatan. Contohnya jika didapati sperma kurang berkualiti, dapatkan nasihat doktor untuk menambahkan kualiti sperma. Begitu juga jika didapati ovum kurang matang atau ovum yang matang terlalu sedikit dan tidak cukup besar, dapatkan nasihat doktor untuk merawatnya.
4. MAKANAN - Ubah cara pemakanan kepada cara yang lebih sihat. Makan makanan seimbang, sentiasa makan buah-buahan dan sayur-sayuran. Tubuh memerlukan zat yang mencukupi untuk membentuk sperma dan ovum yang berkualiti. Boleh juga minum susu formula yang mempunyai asid folik. Susu untuk ibu hamil sesuai diminum bagi wanita yang merancang untuk hamil. Suami pula boleh minum susu lain yang sesuai dengan kemampuan.
5. KESIHATAN MENTAL DAN FIZIKAL - Ubah cara hidup/life style kepada lebih sihat. Rajin-rajinkan ajak pasangan bersantai, jalan-jalan untuk kurangkan tekanan.
6. TAWAKKAL - Setelah segala usaha dibuat, belajar untuk tawakkal, terima hakikat dan ketepikan kata-kata orang yang negatif.
Saya harapkan tips ini bermanfaat untuk kalian dan saya doakan kalian agar dipermudahkan bertemu jodoh dan perolehi zuriat. Terima kasih kerana singgah di blog ini.