Naza Ria bernadikan enjin Toyota 2MZ-FE 2.5 V6 Petrol. |
Baiklah tuan-tuan. Ini antara persoalan yang diajukan kepada saya. Minyak kuat tak? Berapa boleh pergi untuk 1 liter petrol?
Sejak saya selesai tukar enjin, saya belum pernah lagi ukur penggunaan minyak anak gajah bernadi 2MZ ni. Baru-baru ini, saya balik kampung dan melalui jalan agak jauh dengan tujuan untuk menguji penggunaan petrol AG saya.
Perjalanan saya daripada Kuantan ke kampung saya di sempadan Rompin-Pekan (Merchong), saya ke Temerloh terlebih dahulu, kemudian saya ke Jerantut sebentar, patah balik ke Bera, kemudian lalu jalan Bera-Tasik Bera, keluar di Bandar Tun Abd Razak dan ke Muadzam Shah, dan ke simpang Leban Chondong - ke kampung saya, bersiar-siar di kampung dan kembali semula ke Kuantan 2 hari kemudian.
Ni bukan AG saya, ni sekadar hiasan buat cuci mata. Saya dapatkan dari carian Google. |
Pendek kata, perjalanan saya menempuhi pelbagai permukaan jalan, dan pelbagai cara pemanduan. Cuma saya kurang menempuhi jem. Jalan paling teruk ialah jalan dari Bandar Bera - Tasik Bera - Bandar Tun Abd Razak. Jalan berbukit, berliku, jalan rosak dan berlubang. Kami tidak singgah di Tasik Bera.
Perjalanan sejauh 754.30 kilometer, menelan belanja petrol sebanyak RM182.82 iaitu 89.18 liter petrol dengan harga minyak semasa RM2.05 menggunakan petrol RON95 PETRONAS.
Purata penggunaan petrol AG bernadikan 2MZ-FE saya sepanjang perjalanan tersebut ialah sekitar 8.47 kilometer / 1 liter petrol, iaitu 1 kilometer = 118 ml petrol ATAU 24 sen / 1 kilometer (pada harga minyak RM2.05 seliter).
Saya pun tak pasti adakah ia jimat ataupun tidak. Yang pasti, saya sangat selesa membawa keluarga menggunakan AG. Pada saya, kos penggunaan petrol tersebut adalah sangatlah berbaloi.
Cara saya mengukur petrol pula ialah, saya isi penuh tangki di Kuantan. Maksud penuh saya ialah sehingga nozzle 'ktak' atau berhenti sendiri. Apabila sampai ke destinasi seperti di Temerloh, saya isi kembali hingga penuh/nozzle berhenti sendiri. Mungkin cara ini kurang tepat untuk mengukur penggunaan minyak. Tetapi bagi saya, cukuplah sekadar hendak mengetahui purata penggunaan minyak.
Nah saya belanja gambar AG yang saya perolehi dari carian internet. Hmm.. agak menarik juga kangaroo bar dan side bar tu. Rasanya nak kena pasang juga side bar tu supaya memudahkan ibu saya nak menaiki AG yang agak tinggi.
Oh ya, AG saya tiada sebarang modifikasi lain selain memasukkan enjin Toyota 2MZ-FE. Lagi satu, CC ekzos saya telah kena rembat, oleh itu, bengkel enjin AG telah bantu untuk menyambung direct piping tanpa CC.
Tanpa CC, saya rasa kurang selamat berikutan bau asap yang menusuk apabila pintu dibuka. Ketika memanaskan enjin pula, asap tanpa tapisan CC akan mengganggu persekitaran apatah lagi jika kenderaan diletakkan didalam porch rumah.
Tak mengapalah, jika ada rezeki nanti, saya akan cari dan pasang semula CC. Tapi hargnya sudah tinggi sekarang. Apa boleh buat... Jumpa lagi di siaran akan datang.
Sekian, jangan lupa subscribe channel Youtube saya di SUNAN. Terima kasih.