APA PENYEBAB SAYA PAKAI NAZA RIA?

 

Naza Ria RS 2009

    Bagaimana sejarahnya yang menyebabkan saya memiliki Naza Ria? Meskipun Naza Ria sangat terkenal dengan kerosakan enjin, ramai orang takut nak 'pakai' Naza Ria, saya masih berminat nak pakai. Mengapa?

    Punca utama saya nak pakai satu masa dahulu adalah disebabkan oleh ayah mertua saya sakit terlantar akibat strok. Ketika itu, saya memakai Proton Waja. Ayah mertua saya sakit strok dan terlantar. Setiap kali nak bawanya ke hospital, kami memapah beliau dan masukkan ke dalam kereta Proton Waja saya.

    Agak susah nak memapah pesakit terlantar memasuki Proton Waja ketika itu kerana nak papah tu perlukan dua orang. Pintu kereta jenis 'kepak' ni agak payah untuk 2 orang angkat 1 orang pesakit masuk kerana pintu jadi sempit. Rentetan dari itu, saya pun terfikir bagaimana agaknya jika ibu bapa saya pula yang sakit terlantar? bagaimana jika saya dan isteri pula yang sakit terlantar? Saya perlu buat persediaan untuk memudahkan pengurusan pesakit.

    Sejak itu, saya berazam nak memiliki sebuah MPV yang mempunyai pintu jenis sliding seperti van. Pintu sliding ini memudahkan 2 orang mengangkat pesakit terlantar, masuk melalui sebelah pintu, letak pesakit terlantar diatas seat kemudian keluar dari pintu sebelah lagi tanpa kesukaran disebabkan pintu yang sempit seperti kereta pintu 'kepak'.

Nissan Serena C24

Nissan Serena C23

    Antara MPV yang kami tinjau pada ketika itu ialah Nissan Serena C23/C24, Toyota Estima Lucida, malah Perodua Rusa. Target semunya yang terpakai sahaja kerana kekangan kewangan.

Toyota Estima Lucida

Perodua Rusa

    Pendek kata, hampir setiap hari saya buka laman web mudah.my dan membuat carian kenderaan dengan kata kunci 'MPV' untuk cari mpv yang mampu milik. Antara yang menjadi perhatian pada ketika itu ialah Nissan Serena C23 kerana harganya agak mampu milik, manakala rekabentuknya tidak terlalu 'tua'.

    Namun begitu, sumber kewangan menjadi penghalang kerana harga Nissan Serena C23 pun bukan murah ketika itu. Harganya sekitar RM15,000.00 ke atas. Nak buat pinjaman kenderaan memang tak lepas dah. Pernah juga survey Hyundai Trajet kerana masih boleh buat pinjaman kenderaan. Tetapi saya batalkan hasrat kerana bukan pintu sliding.

Hyundai Trajet. Rupa seakan-akan Naza Ria, tetapi saiz kecil sedikit dari Naza Ria

    Sepanjang survey tu, Naza Ria merupakan salah satu MPV yang lebih mampu milik. Seperti orang lain, saya juga takut-takut nak guna kenderaan jenama KIA/NAZA. Pengalaman lalu, saya pernah menggunakan Kia Sportage. Pemanduan memang memuaskan. Cuma Kia Sportage saya tu ada masalah alternator dan gearbox. Sebab itu pada asalnya iklan Naza Ria lalu tanpa dilihat dengan serius oleh saya.

Kia Sportage

    Bila ingat-ingat balik rasa menyesal juga saya jualkan Kia Sportage ini dahulu. Tapi nak buat macam mana, masa tu tiada pengalaman pasal kereta. Jadi bila kena masalah sedikit, terus rasa nak jual. Harga Kia Sportage yang terkini boleh didapati serendah RM4,000.00 dengan kondisi running.

Kia Sportage kami dahulu

Tinggal kenangan....

     Berbalik kepada Naza Ria tadi, nak dijadikan kebetulan, seorang rakan di tempat saya berniaga ada memakai sebuah Naza Ria bernadikan enjin Toyota 2MZ. Sesekali saya akan pergi tenung Naza Ria dia dan tanyakan pengalaman dia guna Naza Ria. Kemudian, saya tidak terus beli. Saya masuk ke grup-grup Naza Ria di facebook dan juga whatsapp untuk mengetahui apa cabaran yang akan saya hadapi sekiranya memiliki Naza Ria kelak.

    Setelah beberapa lama mengikuti perkembangan grup Naza Ria, saya dapati masalah utama yang paling terkenal Naza Ria ialah enjinnya overheat atau dipanggil dengan istilah 'teh tarik'. Teh tarik itu dipanggil apabila enjin Naza Ria overheat, air radiator masuk ke dalam enjin dan bercampur dengan minyak hitam menyebabkan minyak itu bertukar menjadi keruh seperti air teh. 

    Jarang pengguna isukan masalah lain selain isu overheat. Gearbox Naza Ria pula agak lasak dan jarang keluar isu rosak. Kemudian, isu overheat ini ada jalan penyelesaian dia dan cara penjagaan dia untuk elakkan overheat.

    Berbekalkan pengetahuan tadi dan saya pun rasa saya bersedia menanggung risiko, saya memberanikan diri membeli Naza Ria. Saya membeli sebuah Naza Ria yang tersadai, enjinnya dah overheat. Owner dah berputus asa untuk baiki. Mungkin kerana kos baikinya mahal. Saya membeli yang tersadai kerana kosnya lebih murah. Baiki dan guna semula menjaminkan enjin tersebut baru dibaiki berbanding beli yang running dengan harga mahal, tak pasti apa masalah enjinnya. Ni Naza Ria yang saya beli dahulu :





    Keadaan fizikal badannya agak kurang memuaskan. Cat menggelupas, pintu susah nak ditutup. Seat pula banyak koyak. Masa tu, saya dapat beli dengan harga RM3,000.00. Kira murah sangat dah masa tu. Saya tak baiki enjinnya, tetapi saya membuat pinjaman untuk menampung kos memasang enjin recond.

    Setelah pakai beberapa lama, saya dapati Naza Ria sangat 'sedap' dipandu setaraf dengan kereta mewah. Stabil ketika laju, enjinnya berkuasa walaupun muatan penuh. Disebabkan itu, saya bertekad nak cari sebuah lagi Naza Ria yang body lebih cantik dan tahun buatan yang lebih baru. Hasrat saya nak pakai lama dan saya berazam nak masukkan enjin Toyota kerana saya yakin enjin Toyota lebih lasak berbanding enjin Kia.

Naza Ria ke dua saya. Kebetulan balik kampung, saudara jiran datang pakai Naza Ria juga. Sama tahun, sama warna.

    Saya beli dengan cara yang sama, iaitu mencari Naza Ria yang telah kerosakan enjin, ownernya tidak mahu baiki. Jadi saya beli body dengan harga yang lebih murah jika nak dibandingkan dengan membeli 
Naza Ria yang running condition. Kemudian saya membuat pinjaman untuk menampung kos memasukkan enjin Toyota. Naza Ria yang pertama tadi? Saya telah jual kepada pembeli dari Johor (Sebelum PKP).

    Alhamdulillah, Naza Ria yang ke dua ini bernadikan enjin Toyoya 2MZ-FE saya gunakan  tanpa sebarang masalah hingga hari ini. Ketika artikel ditulis, Hampir 1 tahun selepas memasukkan enjin Toyota.

    Cuma saya agak terkilan kerana saya dapat pakai MPV Naza Ria setelah bapa mertua meninggal asbab sakit strok. Tak sempatlah Naza Ria berbakti kepada bapa mertua. Apa boleh buat, golongan marhaen berpendapatan rendah macam saya ni memang mengambil masa yang sangat lama untuk dapat memiliki sesuatu. InsyaALLAH Naza Ria akan terus berbakti kepada ibu dan ayah saya.

Ayah saya teruja dapat pandu Naza Ria.
  
    Baru-baru ini saya balik kampung dan beri peluang kepada ayah untuk memandu Naza Ria. Dia sungguh gembira memandu. "Wow, sedapnya bawa" katanya. Nampaknya dia pun teringin nak memiliki. Jika satu hari nanti saya mampu beli lagi, insyaALLAH saya akan belikan juga untuk ayah.

    Begitulah kisahnya bagaimana permulaan saya nak memiliki Naza Ria. Wah, agak panjang saya menulis hari ini. Terima kasih kerana sudi membaca sampai habis. Semoga kisah saya menjadi isnpirasi untuk anda yang membaca.

Sekian, jangan lupa subscribe channel Youtube saya di SUNANTerima kasih.

Ulasan

  1. terimakasih Tuan.. sya pon tengah survey utk menjcari van / mpv utk bawa mak sya ke dialisis.. mak saya baru patah peha kiri kanan jadi mmg xboleh bengkok kaki... sangat membantu perkongsian tuan.. sya pon rasa mcm nak cari naza ria jgk lah...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sama2 tuan. Terima kasih kerana sudi membaca. Saya cadangakan kepada tuan supaya beli yang jenis pintu sliding agar memudahkan keluar masuk pesakit. Kita nak tolong papah pesakit keluar masuk kenderaan pun mudah dengan pintu sliding.

      Semoga tuan jumpa kenderaan yang sesuai dengan tuan.

      Padam
  2. Assalamualaikum tuan.. sy sdh membeli Naza Ria.. skg masalahnya enjin.. brcadang cari enjin toyota mcm tuan .. brp anggaran kos enjin ini..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau tak salah kos tukar masuk enjin Toyota 2MZ yang terkini ialah RM10.5K. Boleh contact bro Saidan https://www.facebook.com/groups/514144642954755/user/100072302889061/ Bro Saidan ni tempat saya tukar enjin sebelum ni. So far kereta saya masih tiada sebarang masalah.

      Padam
Terima kasih kerana memberi komen/cadangan kepada Sunan.my. Kami akan berusaha membalas secepat mungkin. Bantu support kami dengan subscribe channel Youtube SUNAN di https://www.youtube.com/c/SUNANmy dan jangan skip google ads.

HUBUNGI SUNAN.my

Hantar

ARKIB CERITA

IKUTI KAMI