Di episod yang lepas, saya ada maklumkan bahawa saya akan ceritakan tentang Proton Waja. Baiklah. Sebelum saya sambung kisah baby Sunan, saya akan ceritakan serba sedikit tentang Proton Waja. Proton Waja yang kami beli ini adalah model pertama keluaran tahun 2000 dengan transmisi manual menggunakan enjin dari Mitsubishi. Lebih dikenali sebagai Proton Waja MMC( Mitsubishi Motor Corporation ).
Proton Waja model ini paling senang dijaga, tiada banyak karenah. Penyakit yang selalu jadi pada Proton Waja ini cumalah coil plug kong sahaja. Sesekali perlu tukar kabel plug. Proton Waja menggunakan 2 koil plug. Tidak perlu tukar kedua-dua sekaligus, namun lebih elok jika sekali tukar kedua-dua sekaligus.
Simptom koil plug rosak (jika salah satu koil rosak) ialah enjin bergegar, kadang enjin boleh mati. Jika kedua-dua rosak, enjin tidak dapat dihidupkan. Cara nak cek ialah, tanggalkan nut kedua-dua coil plug, ketika enjin hidup, cabut salah satu coil plug. Enjin masih boleh hidup dan berjalan sekiranya masih ada satu coil plug yang elok.. Jika setelah mencabut satu coil plug, enjin pun mati, bermakna coil plug satu lagi yang belum dicabut itu telah lemah atau rosak.
Masalah lain tiada yang serius utk Proton Waja MMC ini. Cuma hal-hal remeh yang tidak menganggu prestasi kereta dan kos pembaikan yang sangat murah seperti power windows rosak, lampu hadapan kurang terang, mentol lampu hadapan terbakar, mentol lampu belakang terbakar, mentol signal terbakar.
OK, dah habis berkenaan proton waja. Episod kali ini tiada kisah baby Sunan. Cuma kisah Sunan sahaja
Setelah isteri dapat bertukar ke Kuantan pada pertengahan tahun 2013, kami telah menyewa sebuah rumah. Bapa mertua kembali tinggal dengan kami bagi memudahkan sesi rawatan di HTAA. Pada ketika ini, rawatan bapa mertua telah mula berkurangan kerana telah stabil. Manakala rawatan ibu saya masih diteruskan di HTAA, dan ada masanya perlu ke HKL.
Dalam pada itu, kami mencuba untuk membeli rumah. Tiada pengalaman dan pengetahuan, kebetulan prosmosi pendaftaran RM1, kami pun mencuba. Sebelum ini kami bimbang hendak membuat pinjaman rumah kerana risau tiada wang untuk membuat bayaran deposit 10%. Apabila lihat sahaja prosmosi pendaftaran RM1.00 tanpa sebarang kos guaman dan deposit 10%, maka kami pun teruja.
Padahal pinjaman melalui Kerajaan sememangnya tidak memerlukan bayaran deposit. Disebabkan tiada pengetahuan, kami tidak terfikir untuk melihat rumah contoh, memilih lokasi dan sebagainya. Nak dijadikan rezeki, pinjaman perumahan kami lulus dan penghujung tahun 2013, kami telah mendapat kunci rumah. Alhamdulillah.. Rezeki.
Sekitar bulan November 2013, kami pun berpindah ke rumah baharu kami. Malangnya awal bulan Disember, kawasan kediaman kami dilanda banjir besar. Sememangnya pada tahun 2013 itu, seluruh Kuantan dilanda banjir yang besar sehingga kawasan yang tidak pernah banjir pun tenggelam juga.
Seingat saya, banjir berlaku setelah hujan lebat selama tiga hari berturut-turut siang dan malam. Air mula naik pada hari ke tiga. Ketika itu saya dan isteri di tempat kerja. Sesampai saya di rumah, air telah pun memenuhi jalan masuk menyebabkan saya terpaka meletak kereta di tepi jalan utama dan berjalan kaki masuk ke rumah.
Ketika saya sampai di rumah, bapa mertua saya masih lagi didalam rumah, tidak berani keluar. Mujurlah saya sampai sebelum air diparas pinggang. Jika tidak, pasti lelah orang tua hendak meredah air. Kedalaman banjir pada tahun itu ialah paras dada didalam rumah. Saya yakin di luar rumah, paras air ialah setinggi leher saya.
Tanpa berfikir panjang, saya bergegas mengambil beberapa helai pakaian yang masih kering dan membawa bapa mertua meredah air ke kereta. Air di luar rumah masih paras betis, namun bapa mertua telah lelah mengharung air. Setelah itu saya pergi mengambil isteri pula dan bepatah balik ke rumah untuk mengambil beberapa lagi barang keperluan. Malangnya kami terlupa mengambil selimut. Maklumlah kali pertama menghadapi banjir. Tiada pengalaman.
Air naik agak laju. Ketika kami sampai semula di rumah, air telahpun paras pinggang kami. Selesai mengambil beberapa barang penting, kami mendaftar di pusat pemindahan banjir. Malam itu, kami tidak dapat tidur kerana terlalu sejuk disebabkan terlupa membawa selimut.
Hari ke dua kami tinggal di pusat pemindahan banjir, air telah mula surut sedikit, kami pun balik semula ke rumah untuk mengambil selimut. Jika tidak salah, hari ke empat barulah air telah turun sepenuhnya.
Setelah air kembali turun, kami mengambil keputusan untuk menghantar ayah mertua ke rumahnya di Pekan, Pahang berikutan rumah kami terlalu teruk dengan lumpur dan memerlukan masa yang lama untuk dipulihkan. Kami orang muda tidak mengapalah sekadar tidur beralaskan sekeping tikar plastik.
Hampir seminggu juga kami membersihkan rumah dan membasuh semua barang-barang. Banyak juga barang-barang terpaksa dibuang. Hampir kesemua perabot terpaksa dibuang berikutan perabot diperbuat daripada habuk kayu mula mereput dan bekulapuk selepas ditenggelami air banjir. Bertahun juga la kami tidak membeli perabot lain disebabkan trauma banjir. Tidur pun hanya atas lantai sahaja beralaskan toto.
Seingat saya, hampir sebulan juga air yang meresap didalam dinding kering sepenuhnya. Bau didalam rumah memang kurang enaklah. Kami letakkan bahan penyedut kelembapan, sekejap sahaja bekas itu penuh dengan air. Jika letakkan tilam rapat ke dinding, air dari dinding meresap pula ke tilam dan membasahi tilam.
Alhamdulillah selepas banjir 2013 & 2014, tiada lagi banjir hingga ke hari ini. Semoga tiada banjir berlaku lagi dimasa akan datang. Sehingga kini kami masih trauma dengan banjir. Setiap kali musim hujan pada penghujung tahun, kami pasti risaukan kejadian banjir berulang kembali.
Rezeki dapat beli rumah, diuji dengan musibah banjir di rumah itu selama dua tahun.. Pasti ada hikmahnya...
Sekian, jangan lupa subscribe channel Youtube saya di SUNAN ( https://www.youtube.com/c/SUNANofficial ) . Terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana memberi komen/cadangan kepada Sunan.my. Kami akan berusaha membalas secepat mungkin. Bantu support kami dengan subscribe channel Youtube SUNAN di https://www.youtube.com/c/SUNANmy dan jangan skip google ads.