BABY SUNAN. EPISOD 5 - CABARAN TERBESAR, BERSABARLAH. ADA HIKMAHNYA

Antara soalan sensitif yang selalu menjadi topik perbualan orang tua-tua

    Terima kasih kepada yang mengikuti kisah kami. Maaflah agak busy sepanjang minggu ini. Sempat menulis sedikit-sedikit sahaja. Sebenarnya apabila telah berkahwin dan tidak mempunyai anak, bukanlah satu masalah yang besar selagi masih ada ruang untuk berusaha perolehi anak. Yang penting jangan lelah berusaha. Tapi ada juga masalah yang lain sebenarnya.

MULUT ORANG

    Cabaran terbesar apabila anda telah berkahwin beberapa tahun dan belum ada anak ialah, 'mulut' orang. Memang besar cabaran mulut orang ini. Kadang-kadang hingga boleh menyebabkan kita hilang sabar. Sehingga satu tahap, mulut orang itu boleh menyebabkan kita hilang hormat kepadanya disebabkan cara pertanyaan mereka dan perlian mereka.
    
    Jadi, berpada-padalah dalam bertanya soalan sensitif. Bertanyalah dengan penuh berhikmah. Janganlah sehingga pertanyaan itu menyebabkan hati orang terluka apatah lagi sehingga menyebabkan orang hilang horat kepada kita. Orang bujang sudah pastinya mahu berkahwin. Yang telah berkahwin pula pastinya mahukan anak.


    Seandainya kita diajukan dengan soalan sebegitu pula, tetaplah bersabar. Jangan mudah melatah dan janganlah memberi jawapan yang sarkastik. Mungkin mereka itu sekadar bergurau dan bermesra dengan kita. Cuma, mereka tidak sedar gurauan itu mengguris hati kita.
Sebaliknya, mintalah mereka doakan agar kita segera dikurniakan jodoh/anak. Manalah tahun berkat doa salah seorang daripada mereka, akhirnya kita dikurniakan jodoh/anak.
    Sekiranya jawapan kita tidak sarkastik, pastikan mereka akan tolong mendoakan kita dengan ikhlas. Bagaimana jika jawapan kita sarkastik dan mengguris pula hati mereka? mungkin mereka tidak mendoakan kita. Malah lebih malang lagi mereka mendoakan kita tidak perolehi jodoh/zuriat disebabkan kerana hati mereka sakit dengan jawapan sarkastik kita tadi.


    Mungkin juga salah satu asbab kami dikurniakan anak pada hari ini ialah doa-doa mereka. Setiap kali mereka bertanyakan "Bila nak dapat anak?", saya menjawab "Belum rezeki lagi. Tolonglah doakan kami dapat anak. Manalah tahu berkat doa kamu, kami dapat anak nanti".

KEWANGAN

    Cabaran kedua yang terbesar kami ialah kewangan. Sebenarnya kedudukan kewangan kami cukup untuk kehidupan harian. Malah jika ditakdirkan memiliki anak, kami yakin kewangan kami cukup untuk menampung perbelanjaan bersama anak.

    Namun disebabkan belum dikurniakan anak, rawatan harus dilakukan untuk membolehkan isteri mengandung dan seterusnya memiliki anak. Apabila rawatan dibuat, hampir kesemua rawatan memerlukan sumber kewangan. Apatah lagi rawatan klinikal yang harga ubatnya agak tinggi.

    Sungguhpun begitu, ianya tidak menjadi penghalang kepada kami untuk meneruskan rawatan. Setiap bulan kami akan habiskan sumber kewangan kami untuk rawatan termasuk membeli makanan atau vitamin tambahan (supplement).

SEMUANYA BERHIKMAH

    Pada penghujung tahun 2012, permohonan pertukaran saya ke Pahang telah diluluskan dan ditempatkan di Daerah Kuantan. Maka, kami PJJ la sebentar berikutan isteri masih lagi bertugas di Putrajaya.

    Rezeki dapat bertukar ke Kuantan kebetulan ibu saya sakit teruk. Tidak lalu makan minum, hanya batuk dan muntah, berbaring terlantar sahaja dan semakin kurus. Ketika ini saya telah hantar ayah mertua tinggal di rumahnya sendiri di Pekan berikutan kami telah keluar dari Kuarters, manakala saya masih belum menyewa rumah di Kuantan. Isteri kembali menyewa bilik di Presint 9.

    Saya pula tinggal di rumah ibu ayah saya, berulang alik ke tempat kerja di Kuantan setiap hari disebabkan kesihatan ibu saya yang kurang baik. Ibu saya tidak berselera untuk makan disebabkan sakitnya. Hanya dengan kehadiran saya sahaja dia menggagahkan diri untuk makan.

    Selepas hampir seminggu saya bertukar ke Kuantan, saya mengambil keputusan untuk membawa ibu ke hospital. Sebelum ini ayah tidak mahu membawa ibu ke hospital. Mungkin kerana dia risau ibu akan tenat apabila ke hospital. Sememangnya menjadi ketakutan orang kampung saya untuk ke hospital.


    Setelah membawa ibu ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, ibu telah dimasukkan ke wad. Hasil ujian yang dijalankan kepada ibu mendapati bacaan hormon tiroid ibu sangat tinggi (hyperthyroidism). Bermula hari itu, kami meneruskan rawatan ibu di hospital.

    Seingat saya, setiap 6 bulan begitu kami perlu bawa ibu ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk meminum air radioaktif iodin bagi menstabilkan hormon tiroidnya.

    Inilah antara hikmahnya kami lewat memperolehi anak. Dapatlah kami memberi tumpuan dalam rawatan ibu bapa kami. Disamping itu, rawatan ayah mertua masih diteruskan di HTAA Kuantan untuk memantau masalah katarak mata dan memantau lemah jantung.

    Sepanjang kami PJJ, kami hentikan sementara rawatan untuk mengandung. Setiap hari Jumaat, isteri saya akan menaiki bas ekpress dari Putrajaya Central ke Kuantan. Malam Ahad pula, isteri akan menaiki bas dari Kuantan ke Putrajaya. Begitulah rutin isteri setiap hujung minggu. Dapatlah melepaskan rindu duduk berjauhan.

REZEKI

    Sememangnya kami merancang memohon pertukaran isteri juga ke Kuantan. Nak dijadikan kebetulan, Jabatan isteri bertugas ada satu kekosongan di cawangan Kuantan. Isteri telah menghantar surat permohonan pertukaran secara dalaman ke Kuantan.

    Memandangkan ketika itu isteri bertugas di ibu pejabat, urusan untuk memohon pertukaran secara dalaman lebih mudah kerana dapat berhubung terus dengan Bahagian yang menguruskan pertukaran. Pengarah Bahagian di tempat isteri bertugas pula memberi sokongan permohonan pertukaran atas sebab mengikuti suami.

    Alhamdulillah pada awal tahun 2013, isteri telah dapat bertukar ke cawangan Kuantan. Allah sedang mengaturkan hidup kami menjadi lebih baik sebelum DIA kurniakan anak kepada kami. Setelah isteri dapat bertukar ke Kuantan, kami telah menyewa rumah.

    Bapa mertua kembali tinggal bersama kami di Kuantan. Kesihatan ibu saya pula telah mula stabil setelah beberapa sesi rawatan di HKL. Daripada terlantar, tidak berselera makan, kurus hingga saya mampu mengangkat ibu seorang diri, kini ibu saya sudah mula berselera makan, berat badan kembali stabil.

    Sekali lagi, inilah hikmahnya ayah menyuruh saya membeli kereta sebelum berkahwin. Banyak urusan kami menjadi mudah dengan kereta milik sendiri. Cumanya, Perodua Viva yang saya beli pada tahun 2007 lalu telah dijual kepada sepupu saya sekitar tahun 2012 untuk menstruktur semula kewangan kami.

    Komitmen bulanan yang kami tanggung untuk viva selama ini dapatlah dibelanjakan untuk hal lain. Kami telah membeli sebuah Proton Waja terpakai secara tunai menggunakan wang KWSP yang kami keluarkan setelah mendapat taraf berpencen. Penjawat awam yang mendapat taraf berpencen boleh mengeluarkan keseluruhan wang KWSP yang dicarumkan.


Proton Waja kami. Ketika ini enjin mati kerana air masuk kedalam ECU. Warna asal ialah hijau silver, kami telah cat baru kepada warna hitam

    Seingat saya, caruman saya hanya sekitar RM10,000.00 - RM15,000.00 sahaja. Dapatlah membeli kereta tadi secara tunai. Seingat saya, kami membeli Proton Waja itu dengan harga RM12,000.00 tunai tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Kami membeli dari orang perseorangan. Tidak membeli dari kedai kereta terpakai kerana harga Proton Waja pada ketika itu masih tinggi, iaitu sekitar RM15,000.00 ke atas.

    Di episod akan datang, saya kan ceritakan sedikit tentang Proton Waja. Terus ikuti kisah kami ya. Yang mana boleh dijadikan pengajaran dan isnpirasi, ambillah iktibar.


Sekian, jangan lupa subscribe channel Youtube saya di SUNAN ( https://www.youtube.com/c/SUNANofficial ) . Terima kasih.

Ulasan

Terima kasih kerana memberi komen/cadangan kepada Sunan.my. Kami akan berusaha membalas secepat mungkin. Bantu support kami dengan subscribe channel Youtube SUNAN di https://www.youtube.com/c/SUNANmy dan jangan skip google ads.

HUBUNGI SUNAN.my

Hantar

ARKIB CERITA

IKUTI KAMI