BABY SUNAN. EPISOD 4 - MULAKAN USAHA DAN RAWATAN UNTUK PEROLEHI ZURIAT


    Sekitar tahun 2011 iaitu tahun ke 3 perkahwinan kami, kami mula mengorak langkah dengan lebih serius dalam usaha untuk zuriat/anak. Ketika di awal usaha kami, kami membuat carian di internet apakah produk-produk yang digunakan untuk rawatan kesuburan.

    Beberapa produk telah kami ambil, namun masih belum berhasil. Kami juga pernah mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Islam Darussyifa' Bangi dan perawat islam yang lain. Pernah juga meminum herba akar kayu dan mengurut. Herba akar kayu dan mengurut agak bagus kerana melancarkan peredaran darah dan menjadikan perjalanan haid lebih baik.

Sirih pinang, dimakan oleh orang tua-tua di kampung sebagai hobi

    Pernah isteri memakan sirih pinang untuk rawatan tradisional. Selepas selesai makan, isteri saya berpeluh-peluh, sesak nafas dan tidak keruan. Saya sangkakan isteri telah disampuk jin ke apa. Rupa-rupanya, isteri saya telah ke'mabuk'an sirih pinang. Saya terlupa bahawa sirih pinang ini boleh sebabkan 'mabuk'.

    Mabuk sirih pinang ini bukan seperti mabuk dadah/arak. Bukan menyebabkan kita berkhayal. Ianya seolah-olah ada sesuatu yang menyekat kerongkong untuk bernafas, seperti tidak cukup oksigen. Ubatnya mudah sahaja iaitu dengan memakan 1-2 sudu gula pasir. Sebaiknya semasa nak makan sirih pinang itu, letakkan gula pasir didalam gumpalan sirih itu siap-siap.

Hospital Putrajaya

    Rawatan islam sudah, rawatan tradisional pun sudah. Kami mulakan rawatan klinikal. Untuk melakukan rawatan klinikal, anda perlu membuang rasa malu kerana si suami akan dirawat dari segi kesuburan dan kualiti sperma, manakala si isteri akan dirawat dari segi kesuburan dan kesihatan rahim. Di Hospital Putrajaya inilah kami mula mendapatkan rawatan klinikal dalam usaha memperolehi zuriat.


    Untuk saya sebagai orang lelaki, tiada masalah sangat kerana perkara pertama yang akan dibuat ujian ialah kualiti sperma (air mani). Doktor akan serahkan satu tabung untuk memasukkan sperma. Pandai-pandailah anda nak keluarkan sperma macam mana. Ketika kami lakukan rawatan, masih belum ada bilik khas untuk keluarkan sperma.

Tahap kesihatan sperma

    Sperma yang telah dimasukkan kedalam tabung tadi diserahkan ke makmal berkaitan untuk dibuat ujian samaada kandungan sperma dalam air mani tadi berkualiti atau tidak. Jika kualiti sperma dalam keadaan baik, maka tiada rawatan susulan untuk suami. Jika kualiti sperma bermasalah, barulah ada rawatan susulan untuk suami. Jadinya, si suami tidak ada rawatan yang melibatkan sentuhan fizikal dan visual dengan doktor sekiranya kualiti sperma dalam keadaan baik.

Kredit gambar : Kliniksabah.com

    Manakala rawatan isteri pula memerlukan sentuhan dan visual yang melibatkan bahagian sensitif (kemaluan) kerana satu alat perlu dimasukkan melalui kemaluan/vagina untuk memeriksa keadaan kesihatan rahim wanita. Mujurlah di Hospital Putrajaya ketika itu, kes sebegini dilakukan oleh doktor wanita.

    Apabila sesi rawatan klinikal dijalankan, kami sebenarnya tiada masalah apa-apa. Semuanya dalam keadaan baik kecuali ovum/telur sahaja kurang membesar ketika tempoh matang. Seterusnya hospital putrajaya menjalankan prosuder IUI ( Intrauterine insemination ). IUI ialah kaedah untuk membantu sperma melalui jalan pintas untuk berjalan ke telur/ovum.

    
Proses pemilihan sperma didalam makmal

    Sperma yang matang dan baik akan dipilih di makmal, kemudian sperma akan disuntik melalui vagina. Dilepaskan didalam rahim seperti gambar di atas. Setelah itu sperma akan dibiarkan bergerak sendiri menuju ke telur yang telah matang dan seterusnya bersenyawa dengan telur.

Proses IUI

    Proses IUI ni sebenarnya agak sakit kerana ada satu alat yang dipanggil Double Nut Bivalve (DNB) Cervical Clam atau  'mulut itik' akan dimasukkan kedalam vagina. Kemudian alat itu akan dibuka bagi memberi laluan untuk memasukkan tiub bagi menyuntik sperma.

    Walaupun sakit, isteri sanggup menahan sakit itu dan teruskan rawatan demi zuriat. Walaupun kesakitan itu tidaklah terlalu kuat, namun tetaplah sakit. Tidak seperti rawatan suami yang tiada apa-apa sentuhan fizikal. Tidak sakit langsung.

    Setelah sesi IUI berlangsung, isteri akan dibiarkan berbaring diatas katil khas selama sekitar 1 jam, dimana katil itu akan ditinggikan di bahagian pinggul dan direndahkan di bahagian kepala agar sperma tadi tidak turun ke bawah. Setelah itu, kami dibenarkan pulang ke rumah.

    Disebabkan kami kakitangan Kerajaan, rawatan IUI tersebut telah ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan untuk anak pertama (Selagi tidak mendapat anak, selagi itu rawatan itu ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan). Terima kasih Kerajaan Malaysia.

    Bukan rezeki kami. Rawatan IUI tersebut tidak membuahkan hasil. Isteri masih datang haid seperti biasa. Namun kami tidak berputus asa. Kami masih meneruskan sesi rawatan di Hospital Putrajaya. Sepanjang tempoh pertengahan 2011 - 2012 tersebut, kami telah jalani IUI sekitar 3 kali kalau tidak salah. Kesemuanya menemui kegagalan.

Selaput mata/katarak

    Dalam pada itu, kami bawa bapa kepada isteri (bapa mertua saya) tinggal dengan kami di kuarters bagi membuat rawatan matanya yang ada katarak juga di Hospital Putrajaya. Disebabkan rawatan katarak ayah mertua yang memerlukannya hadir ke hospital agak kerap, maka kami bahagikan masa antara rawatan kehamilan kami dan rawatan katarak ayah mertua.

    Ini bagi mengelakkan kami terlalu kerap keluar pejabat dan bercuti bagi menjalani rawatan. Rawatan katarak tersebut memerluka pembedahan bagi membuang selaput mata dan menggantikan kanta mata. Kos kanta mata tersebut tidak ditanggung oleh Kerajaan. Jika tidak salah, kos kanta tersebut ialah sekitar RM1,000.00 untuk sebelah mata.

    Kami pun tidak ingat kos sebenar. Yang pasti kosnya agak tinggi buat kami. Mujurlah rawatan tersebut bermula sebelah-sebelah mata, tidak dibuat ke dua-dua belah mata. Bolehlah kami bernafas sedikit untuk menjalankan rawatan tersebut.

    Alhamdulillah pembedahan katarak untuk kedua-dua belah mata bapa mertua selesai sekitar tahun 2012 dan seterusnya rawatan susulan masih berjalan seperti biasa. Baiklah, saya sambung lagi kisah ini di episod 5.


Sekian, jangan lupa subscribe channel Youtube saya di SUNAN ( https://www.youtube.com/c/SUNANofficial ) . Terima kasih.

Ulasan

Terima kasih kerana memberi komen/cadangan kepada Sunan.my. Kami akan berusaha membalas secepat mungkin. Bantu support kami dengan subscribe channel Youtube SUNAN di https://www.youtube.com/c/SUNANmy dan jangan skip google ads.

HUBUNGI SUNAN.my

Hantar

ARKIB CERITA

IKUTI KAMI