BABY SUNAN. EPISOD 3 - TERMETRINYA SEBUAH IKATAN, MULAKAN HIDUP BARU. TETAPKAN MATLAMAT UTAMA PERKAHWINAN!!


    Tanggal 9 Mac 2009 @ 09.03.09, kami telah selamat diijabkabulkan di Surau Al-Hidayah Kampung Permatang Pauh, Pekan, Pahang. Sebenarnya kami pun tidak perasan tarikh pemilihan itu 939. Ketika kami membuat penetapan tarikh nikah, kami cuma ambil tarikh Maulidur Rasul pada hari tersebut.

Surau Al-Hidayah Kampung Permatang Pauh, Pekan, Pahang

    Disebabkan 9/3/2009 tu agak cantik, kami abadikan 939 tu pada nombor kenderaan. Urusan kenduri kami jarakkan sedikit, tidak dibuat pada tarikh pernikahan tersebut.


    Saya cuba mencari softcopy gambar semasa akad nikah, malangnya tidak jumpa. Album perkahwinan kami pula telah rosak ditenggelami banjir pada tahun 2013. Inilah sebabnya hari ini saya memasang matlamat untuk membuat catatan hidup di blog. Tidaklah kenangan dan peristiwa penting hilang begitu sahaja. Sekurang-kurangnya dapat dilihat kembali sekeping dua gambar.

    Maklumlah pada ketika itu telefon pintar dan media sosial belum popular seperti hari ini. Ketika itu ambil gambar pun masih menggunakan kamera dengan filem. Telefon bimbit sudah ada kamera, tetapi masih format vga. Memang gambar tidak cantik.

    Kami tidak terus adakan kenduri pada 9 Mac 2009. Kami adakan kenduri pada hari lain. Terima kasih kepada semua rakan yang hadir ke kenduri kami. Rombongan rakan pejabat dari Putrajaya juga ada hadir ke kenduri kami, namun kami tidak perasan kehadiran mereka. Maafkan kami kerana tidak dapat melayan kehadiran rakan-rakan sekalian.

    Semasa hari kenduri tersebut, kami hilang fokus. Tidak teringat untuk melayan rakan-rakan yang hadir kenduri berikutan perjalanan kenduri telah diatur dengan pelbagai slot. Maafkan kami ya. Setelah selesai kenduri, kami masih tinggal berasingan di bilik sewa sebelum ini.

    Tidak berapa lama selepas itu, kami dapat menyewa sebuah rumah di Kampung Limau Manis, bersebelahan dengan Desa Pinggiran Putra. Pemilik rumah sewa yang sangat baik hati. Kami tidak pasti bagaimanakah keadaan pemilik rumah sewa pada hari ini.

    Kami tidak lama menyewa di situ berikutan permohonan menduduki kuarters kami diluluskan di PPAM 5R4

    Berbalik kepada kisah baby sunan, apabila selesai akad nikah dan bergelar suami-isteri, bermulalah usikan daripada rakan-rakan dan saudara mara berkenaan anak. Pada tahun pertama, tidaklah begitu ketara.


    Ketika itu kami mengambil pendekatan untuk merancang terlebih dahulu dengan hasrat menunggu kedudukan kewangan kami menjadi lebih baik. Mungkin disinilah KESILAPAN BESAR kami. Niat kami untuk tunggu dahulu hingga kewangan kami lebih baik membuatkan kami terpaksa menunggu lama hingga 10 tahun!!
    Nasihat saya kepada pasangan yang baru berkahwin, segerakan usaha untuk perolehi zuriat. Jangan ada niat walau sedikit pun untuk merancang keluarga. Jangan fikir nak kukuhkan kewangan dahulu. Jangan fikir nak enjoy dengan pasangan dahulu. Jangan!

    Tetapkan matlamat untuk perolehi anak awal, usaha seawal selesai akad nikah! Tetapkan matlamat utama pernikahan adalah kerana ingin perolehi zuriat, penyambung keturunan anda! Jangan ulangi kesilapan kami!! JANGAN!!

    Dek kerana kesilapan kami kononnya biarlah dahulu supaya kedudukan kewangan kami kukuh dahulu, kami merancang keluarga dengan kaedah biasa sepanjang setahun perkahwinan kami. Memang kewangan kami tidak kukuh pada ketika itu. Gaji kami cukup untuk kehidupan harian hingga hujung bulan, bayar kereta dan beberapa komitmen lain dan perbelanjaan balik kampung.

    Sepatutnya kami sedar bahawa anak itu adalah rezeki terbesar. Apabila dikurniakan anak, pasti ALLAH kurniakan kemampuan untuk kami menjaga anak tersebut.


    Tahun ke 2 perkahwian kami, semakin kerap pertanyaan orang berkenaan anak. Kami pun mulakan usaha untuk perolehi zuriat. Tidak lagi mengamalkan kaedah perancangan keluarga. Kami pun mula ternanti-nanti bilakah akan mengandung.

    Tahun ke 2 perkahwinan, kaedah usaha kami untuk perolehi zuriat tidaklah begitu pelbagai. Kami cuba usahakan dengan kaedah normal terlebih dahulu. Cuba mengambil pelbagai herba dan supplement.

    Tahun ke 3 perkahwinan, kami mula tertekan kerana tidak perolehi zuriat. Ditambah pula dengan pertanyaan yang tidak putus-putus setiap kali balik ke kampung. Sehingga sampai satu tahap, isteri mula jadi trauma untuk balik ke kampung, apatah lagi menghadiri keduri yang dianjurkan saudara-mara.

    Ada juga kata-kata negatif yang dilemparkan kepada kami. Antaranya, dengan nada bergurau mengatakan saya mandul. Walaupun dengan bergurau, namun bagi kami yang sedang menantikan cahaya mata, pastinya amat mengguris hati.

    Siapa yang tidak mahukan cahaya mata dalam perkahwinan ini kan? Semua orang yang berkahwin pasti mahukan cahaya mata. Namun, pertanyaan-pertanyaan yang dilemparkan oleh orang kepada kita seolah-olah kita tidak mahukan cahaya mata.

    Baiklah, saya akan sambung di episod seterusnya. Buat pasangan yang sedang merancang untuk mendirikan rumah tangga, dan yang baru mendirikan rumah tangga, tetapkan matlamat utama anda mendirikan rumah tangga kerana inginkan penyambung keturunan anda iaitu cahaya mata, zuriat, anak.


Sekian, jangan lupa subscribe channel Youtube saya di SUNAN ( https://www.youtube.com/c/SUNANofficial ) . Terima kasih.

Ulasan

Terima kasih kerana memberi komen/cadangan kepada Sunan.my. Kami akan berusaha membalas secepat mungkin. Bantu support kami dengan subscribe channel Youtube SUNAN di https://www.youtube.com/c/SUNANmy dan jangan skip google ads.

HUBUNGI SUNAN.my

Hantar

ARKIB CERITA

IKUTI KAMI