KERETA APA YANG BERBALOI UNTUK DIMILIKI DENGAN HARGA TUNAI SEKITAR RM5,000.00?

Kredit Gambar : Pandu Laju

    Terima kasih kepada seorang pengunjung blog SUNAN yang bertanyakan tentang Naza Ria. Hasrat beliau ingin mencari maklumat berkenaan Naza Ria disamping merancang untuk membeli sebuah kenderaan terpakai secara tunai dengan anggaran RM5,000.00 hingga RM7,000.00. Beliau juga amat meminati SUV terpakai Perodua Kembara.

Daihatsu Terios / Perodua Kembara

    Asbab pertanyaan beliau, saya mendapat ilham untuk menulis kali ini. Sebenarnya, saya juga amat meminati Perodua Kembara berikutan kereta ini memiliki kemampuan 4WD / 4 Whell Drive / Pacuan empat roda. Namun begitu, 4WD Perodua Kembara hanyalah untuk aktiviti yang ringan sahaja berikutan gear pada 4WD Perodua Kembara tiada low speed gear. Cukuplah untuk aktiviti outdoor yang ringan. Ada juga pemilik Perodua Kembara yang telah melakukan modifikasi pada kotak gear dan measukkan low speed gear.

    Berbalik kepada tajuk asal, apakah kereta terpakai yang berbaloi untuk dimiliki jika ingin beli secara tunai dengan harga sekitar RM5,000.00? Bagi saya, kereta yang berbaloi dimiliki ini memiliki dua faktor iaitu faktor senang jaga dan faktor nilai khusus yang ada pada kereta itu.

    Berikut adalah pandangan saya berkenaan kereta yang berbaloi dimiliki dengan harga sedemikian. Mungkin pandangan saya salah dan tidak sependapat dengan anda. Rujukan harga saya ambil daripada laman web www.mudah.my . Antara kereta yang saya cadangkan ialah :

A. SENANG JAGA :

    Maksud senang jaga disini ialah kereta-kereta ini masih senang mendapat alat ganti, harga alat ganti pula tidak terlalu mahal, kereta ini tidak terlalu banyak ragam, dan banyak bengkel pandai membaiki kereta-kereta ini.

1. PERODUA VIVA 660.

    Perodua Viva 660 manual keluaran pertama tahun 2007 boleh didapati dengan harga sekitar RM5,000.00 hingga RM7,000.00 bergantung kepada kondisi dan penjual. Harga lebih murah dan senang dirunding jika dapat dibeli terus dari pemilik. Untuk mencari harga yang serendah RM5K, memerlukan masa yang lebih sedikit.

    Bagi saya, ini adalah kereta yang paling berbaloi dimiliki kerana menggunakan enjin yang agak moden dengan teknologi DVVT dan fuel injection. Perodua Viva terkenal dengan penjimatan minyak. Jika bernasib baik, Perodua Viva dengan enjin 850 dan 1.0 juga boleh didapati dengan harga sekitar RM7,000.00.

2. PERODUA KANCIL

Kredit gambar : Paultan.org

    Perodua Kancil juga sangat berbaloi dimiliki dengan harga sekitar RM5,000.00. Sebaiknya ambillah Perodua Kancil lampu bulat kerana keluarannya lebih baru berbanding Kancil lampu petak. Perodua Kancil memang sebuah kenderaan ikonik untuk rakyat Malaysia. Kebanyakannya tidak banyak ragam.

3. PROTON WAJA

Proton Waja
    Jika perlukan sebuah kereta yang lebih besar dan ada bonet luas, Proton Waja sangat berbaloi untuk dimiliki. Kini sudah boleh didapati dengan harga serendah RM5,000.00!! Bagi saya, Proton Waja 1.6 dengan enjin Mitsubishi (MMC) paling berbaloi dimiliki (Keluaran tahun 2000 - 2005). Proton Waja mula dikeluarkan pada tahun 2000.

    Sekiranya Proton Waja dalam kondisi baik, pemanduan Proton Waja sangat 'sedap' dan 'solid', bodynya berat dan enjinnya cukup kuasa.

4. PROTON WIRA

Proton Wira
   
    Siapa yang tidak kenal dengan proton wira. Proton Wira ialah sebuah kereta yang sangat mudah dijaga, tidak banyak ragam. Rekabentuk yang tidak ketinggalan zaman membuatkan pemilik tidak segan memandu kemana sahaja.

5. PROTON SAGA / ISWARA

Proton Iswara

    Proton Saga merupakan kereta pertama keluaran Proton. Manakala Proton Iswara pula dikeluarkan selepas Proton Saga. Saya mengesyorkan Proton Iswara yang kini boleh didapatai dengan harga sekitar RM2,000.00 sahaja. Juga tidak terlalu banyak ragam. Namun begitu, keluarannya lebih lama dari Proton Wira.

6. PERODUA KEMBARA

Perodua Kembara

    Mengapa saya meletakkan di bilangan ke enam walaupun saya meminati Perodua Kembara? Ini adalah kerana harga Perodua Kembara sedang mengalami trend kenaikan disebabkan peminat mula mencari sebuah SUV yang bersaiz kompak dengan kemampuan 4WD untuk aktiviti outdoor yang ringan.

    Hanya Perodua Kembara sahaja SUV bersaiz kompak dengan kemampuan 4WD yang masih dijual dengan harga 'marhaen'. SUV bersaiz kompak dengan kemampuan 4WD yang lain seperti Daihatsu Feroza, Suzuki Vitara dan Suzuki Jimny masih dijual dengan harga kayangan. Disebabkan itulah ramai peminat mula menyimpan hasrat untuk memiliki Perodua Kembara. Apabila banyak permintaan, harganya mula dinaikkan.

    Mungkin anda boleh mencari pemilik yang menjual dengan harga dibawah RM5,000.00, namun peluang keemasan seperti ini jarang-jarang berlaku. Berdasarkan tinjauan saya, keluaran pertama Perodua Kembara sekitar tahun 1998, masih lagi dijual dengan harga sekitar RM6,000.00 hingga RM7,000.00. Agak jarang harga dibawah RM6,000.00 muncul.

    Selesailah sudah senarai kereta senang jaga dengan harga sekitar RM5,000.00. Saya tidak masukkan Perodua Myvi kerana harga Myvi yang saya tinjau rata-rata berharga RM9,000.00 ke atas. Kategori ke dua bagi saya ialah kategori nilai lain yang ada pada kereta itu.

B. NILAI / KEGUNAAN / KEBOLEHAN KHUSUS

    Sebenarnya dengan harga RM5,000.00, banyak model kereta boleh dibeli. Jadi, saya cuma beri pandangan untuk kereta yang mempunyai kegunaan khusus sahaja.

1. NAZA RIA

Naza Ria, MPV 7 tempat duduk yang luas

    Seperti yang saya selalu tulis berkenaan Naza Ria, dengan harga serendah RM5,000.00 + +, anda dapat memiliki sebuah MPV yang selesa dipandu, luas, 7 tempat duduk. Tempat duduk barisan belakang sekali masih selesa untuk penumpang dewasa, ruang lutut yang luas. Namun, kos untuk alat ganti agak tinggi daripada kategori 'senang jaga' diatas kerana alat ganti untuk Naza Ria perlu menggunakan alat ganti tulin, import dari Korea. Boleh baca lanjut mengenai Naza Ria di blog ini.

2. KIA SPORTAGE MODEL PERTAMA

Kami pernah miliki satu ketika dahulu



Kia Sportage, mempunyai fungsi 4WD

    Kia Sportage ialah sebuah SUV mempunyai kemampuan pacuan empat roda /4WD seperti Perodua Kembara. Kelebihanyya ialah mempunyai low speed gear yang tiada pada Perodua Kembara. Kebanyakannya didatangkan dengan gear automatik dan cukup berkuasa dengan enjin 2.0.

    Pengalaman kami memandu Kia Sportage sangatlah seronok, selesa dan comfort. Kebiasaan kami memandu kenderaan jenama Kia, sememangnya pengalaman pemanduaan yang menyeronokkan. Inilah antara faktor kami membeli semula Naza Ria setelah menjual Naza Ria lama kami.

    Kami terpaksa menjual Kia Sportage kami dahulu disebabkan masalah alternator. Ketika itu kami masih tiada ilmu kereta. Sayang pula kerana jual kereta ini. Kami tidak pasti adakah model ini bermasalah pada enjin seperti Naza Ria.

3. TOYOTA UNSER

Toyota Unser generasi pertama

    Toyota Unser generasi pertama boleh didapati dengan harga sekitar RM8,000.00 merupakan sebuah MPV 7 tempat duduk. Masih selesa dipandu dengan 7 penumpang dewasa, namun tidak keselesaannya tidak dapat menandingi Naza Ria.

4. NISSAN SERENA MODEL PERTAMA

Nissan Serena model pertama. Kredit gambar kepada pemilik asal.

    Nissan Serena merupakan sebuah MPV 7 tempat duduk yang selesa dipandu seperti Naza Ria. Boleh dimiliki dengan harga sekitar RM8,000.00. Cumanya dengan harga sebegitu, tidak dapatlah keluaran yang terbaru.

5. HYUNDAI TRAJET

Hyundai Trajet

    Hyundai Trajet merupakan sebuah MPV 7 tempat duduk dengan rupa dan keselesaan yang hampir sama dengan Naza Ria. Dengan enjin 2.0, cukai jalan lebih murah berbanding Naza Ria. Kekurangannya berbanding Naza Ria ialah pintu penumpang bukan pintu lungsur/sliding. Pintu jenis 'kepak' seperti pintu kereta biasa.

KESIMPULANNYA

    Berbalik kepada tujuan utama membeli kereta. Apakah tujuan utama? Sekadar penganggkutan? Jimat? Mudah selenggara? Alat ganti murah dan mudah didapati? Untuk aktiviti outdoor? Untuk bawa keluarga ramai?

    Sekiranya memilih untuk keperluan MPV atau 4WD, anda mungkin tidak memiliki kelebihan penjimatan minyak. Sekiranya anda memilih untuk penjimatan minyak, anda mungkin tidak memiliki kelebihan MPV atau 4WD. Pilihan di tangan anda.

Sekian, jangan lupa subscribe channel Youtube saya di SUNAN ( https://www.youtube.com/c/SUNANofficial ) . Terima kasih.

Ulasan

Terima kasih kerana memberi komen/cadangan kepada Sunan.my. Kami akan berusaha membalas secepat mungkin. Bantu support kami dengan subscribe channel Youtube SUNAN di https://www.youtube.com/c/SUNANmy dan jangan skip google ads.

HUBUNGI SUNAN.my

Hantar

ARKIB CERITA

IKUTI KAMI