Kredit Gambar : Blog Faizah Azmi |
Asyik cerita pasal kereta sahaja. Bosan pula kan? Hari ini saya nak cerita berkenaan perjalanan kami untuk perolehi zuriat atau untuk dapatkan anak. Cerita ini akan bermula dari detik awal bersambung-sambung, insyaALLAH saya akan ceritakan perkembangan terkini baby SUNAN.
Tidak megapa jika pembaca tidak mahu membaca perjalanan baby Sunan kerana catatan ini lebih kepada diari sebagai kenang-kenangan apabila kami telah tua dan baby Sunan pula telah dewasa kelak. Jika nak ingat semua kisah, memori kita tidak mampu mengingati semua perkara. Jadi, dengan catatan sebegini, semua moment akan disimpan dengan rapi di sini.
Saya juga telah wujudkan menu khas dengan nama "KISAH BABY SUNAN" untuk memudahkan kisah baby Sunan senang dicari dan diasingkan daripada artikel-artikel lain.
Berbalik kepada kisah baby Sunan, kami berkahwin pada 9 Mac 2009. Oleh sebab itu kami abadikan tarikh perkahwinan kami di nombor kenderaan dengan nombor 939.
Kami mengenali antara satu sama lain di bangku sekolah. Ketika itu kami tingkatan 6, bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad Pekan pada tahun 2003 - 2004, mengambil STPM.
Ini adalah sekolah dimana kami mula-mula bertemu. Namun ketika di bangku sekolah, kami tidak pernah bertegur sapa pun. Ketika itu isteri di kelas 1 dan saya di kelas 4. Ketika 6 bawah, kami pernah sekelas di kelas 6 bawah 1.
Tidak berapa lama disebabkan pelajar tingkatan 6 pada tahun itu ramai, pihak sekolah telah membuka satu lagi kelas iaitu kelas 4. Saya ke kelas 4 mengikuti mata pelajaran lain. Mata pelajaran di kelas 1 ialah berasaskan sastera. Jiwa saya tidak minat dengan sastera. Kelas 4 pula ada pengajian perniagaan. Kononnya minat berniaga la. kikiki..
Masa pun berlalu dengan kisah masing-masing di SMK Ahmad tersebut sehinggalah habis sekolah. Tiada apa-apa pun antara kami. Tidak pernah bertegur sapa, apatah lagi berkawan, couple mahupun bercinta. Masing-masing ada kisah tersendiri di SMK Ahmad.
Selepas habis persekolahan, masing-masing dengan kehidupan masing-masing. Tak pernah ambil kisah pun dan tak pernah berhubung pun antara satu sama lain. Masa itu pula belum ada lagi whatapps dan fb. Habis sekolah, saya ke Johor Bahru untuk bekerja di kilang elektronik sebagai operator pengeluaran. Hampir setahun bekerja di JB, saya berhenti dan balik ke kampung mengikut pakcik saya bekerja buruh binaan.
Pada tahun 2006, saya dibawa bekerja di Ibu Pejabat Komatra Sajian Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Sunway Business Park. Ketika itu gaji saya cumalah RM650.00 sahaja sebulan. Maklumlah tiada pengalaman kerja, tiada pengetahuan komputer, zero, kosong. Kerja saya ketika itu lebih banyak termenung sahaja, membantu rakan-rakan sekerja dan belajar komputer.
Terima kasih yang tak terhingga kepada Pengarah Syarikat yang mengambil saya bekerja ketika itu. Dari situlah bermulanya segala-gala perubahan dalam hidup saya. Dari situlah banyak pengalaman ditimba sebelum saya mendapat pekerjaan dengan Kerajaan. Dengan gaji seperti itu dan tinggal di Bandar Sunway, sememangnya hanya mencukupi untuk menampung makan dan minum. Mujurlah tempat tinggal disediakan.
Tidak lama kemudian, saya ditukarkan ke pejabat di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang untuk operasi tender baharu iaitu bekalan makanan mentah basah dan kering ke Hospital Kajang. Juga disediakan tempat tinggal. Gaji masih sama pada ketika itu. Big bos menyatakan hasrat untuk naikkan gaji kepada saya ketika sesi lawatan beliau di pejabat itu.
Jadi, tiadalah angan-angan hendak membeli kenderaan pada ketika itu. Tidak mengapalah gaji murah kerana saya sedar saya tiada pengetahuan dan pengalaman. Proses belajar itu sangat berharga yang dapat saya gunakan dan membatu orang lain sehingga kini. Terima kasih sekali lagi kepada Dato' Syed Abu Hussin.
Hentian Puduraya dulu-dulu. Sekarang dah cantik. |
Disebabkan tiada kemampuan untuk membeli kenderaan walaupun motorsikal, setiap kali balik kampung, saya akan menaiki bas dari Puduraya turun di Kuantan. Kadang-kadang saya naik bas dari Nilai. Dari Bandar Kuantan saya menaiki bas henti-henti ke Bandar Pekan. Dan dari Bandar Pekan saya menaiki bas henti-henti ke kampung saya.
Surau Pekan Baru, Bandar Pekan Pahang. |
Pernah juga beberapa kali apabila dah sampai di Bandar Pekan, saya sudah terlepas bas henti-henti. Terpaksa menaiki teksi untuk kejar bas henti-henti. Kadang kala naik teksi ke Nenasi dengan harga yang tinggi dan minta ayah ambilkan di Nenasi.
Jika tidak cukup duit, pernah naiki teksi separuh jalan dan tumpang orang balik ke kampung. Pernah juga saya tidur di Surau Pekan Baru yang terletak di tengah-tengah bandar Pekan, kemudian keesokan harinya menaiki bas ke kampung saya.
Kedai Buku Men Men Pekan. Kredit gambar : Fb Nurshidah Hussein |
Sekitar tahun penghujung tahun 2006 begitu, ketika itu isteri bekerja di Kedai Buku Men Men di Bandar Pekan (kini kedai ini telah bertukar menjadi MBS Store) Masih kedai buku, tapi dengan penjenamaan baru. Saya dalam perjalanan dari kampung hendak ke tempat kerja. Setelah membeli tiket bas ekpress di terminal bas Pekan, saya ke kedai buku ini untuk membeli sedikit alat tulis. Kedai buku ini memang menjadi kedai kegemaran saya ketika sekolah dahulu.
Ketika sedang mencari barang yang diperlukan, saya terpandang seseorang yang dikenali iaitu rakan sekolah ketika di SMK Ahmad dahulu (Kini isteri saya). Kami pun bertegur sapa dan betukar-tukar nombor telefon bimbit. Ketika itu telefon bimbit cuma mempunyai fungsi panggilan dan sms sahaja. Paling canggih pun saya pernah ada semasa tu ialah Motorola V3i. Android belum wujud lagi.
Setelah itu, saya menaiki bas ke KL dan bekerja. Kami pun berbalas-balas sms bertanyakan khabar sahaja pada ketika itu. Apabila semakin kerap berhubung, hati kami masing-masing pula sedang kosong, maka bermulalah bibit-bibit percintaan. Chewah.. Maka bermulalah perhubungan kami secara lebih serius.
Pada awal tahun 2007, syarikat saya bekerja telah menanggung kos untuk membuat lesen kereta dan motorsikal. Terima kasih sekali lagi kepada Dato'. Lesen kenderaaan itu dapat dimanfaatkan sehinggalah hari ini. Syarikat menanggung kos lesen berikutan saya akan dipindahkan ke Kuantan untuk menguruskan tender bekalan susu kotak ke sekolah-sekolah di seluruh Pahang.
Sempatlah saya dipindahkan ke Pahang sekejap menguruskan bekalan susu tersebut tetapi tidak lama berikutan Kerajaan menangguhkan program susu akibat susu kotak mudah rosak ketika kendalian dalam kuantiti yang banyak. Akhirnya saya dipindahkan kembali ke Salak Tinggi ditugaskan menjaga stor barang kering.
Pada tahun 2007 juga, seorang rakan saya telah menjual sebuah motorsikal kepada saya iaitu Yamaha TZM. Motorsikal yang menjadi kegilaan saya dijual kepada saya dengan harga RM2,500.00 sahaja. Tersangatlah murah sedangkan harga pasaran ketika itu berkali ganda dari itu. Harga sebuah Yamah TZM terpakai pada hari ini telah meningkat berkali ganda.
Rakan saya ini bernama Subhi. Sangat baik dan selalu membantu saya. Saya membeli motor itu dengan bayaran bulanan kepadanya sedikit-sedikit. Terima kasih sahabat. Kerana dialah saya dapat memiliki kenderaan.
Sejak dari itu, saya dapat balik kampung menaiki motorsikal. Tidak lagi ditinggalkan bas, tidak lagi tidur di surau sementara menantikan bas pada keesokan harinya. Terima kasih sahabat.. Ketika tiada kenderaan, saya menumpang kereta rakan serumah untuk ke tempat kerja. Terima kasih sahabat.
Semoga kebaikan kalian ALLAH balas dengan kebaikan yang berlipat kali ganda. Saya masih tidak lupa kenangan dan kebaikan kalian. Baiklah, agak panjang saya menulis. Saya akan sambung ke bab seterusnya.
Sekian, jangan lupa subscribe channel Youtube saya di SUNAN ( https://www.youtube.com/c/SUNANofficial ) . Terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana memberi komen/cadangan kepada Sunan.my. Kami akan berusaha membalas secepat mungkin. Bantu support kami dengan subscribe channel Youtube SUNAN di https://www.youtube.com/c/SUNANmy dan jangan skip google ads.