BABY SUNAN. EPISOD 2 - MULA MENGORAK LANGKAH UNTUK PERJALANAN LEBIH JAUH.


    Sememangnya dari sekolah lagi prinsip saya dalam sesuatu perhubungan ialah tidak bermain-main. Saya mahu sesuatu perhubungan itu mencapai matlamat. Sebelum memutuskan untuk couple dengan seorang perempuan, saya pastikan matlamat saya ialah mahu jadikan perempuan itu sebagai isteri. Bukan sekadar cuple dan putus begitu sahaja. Namun, bergantung juga kepada jodoh dan kesediaan perempuan tersebut.

    Sebab itulah ketika di zaman persekolahan, saya tidak mudah-muah bercinta atau couple walaupun meminati seseorang. Minat sahajalah dalam diam. Sekiaranya berterus terang pun tidak semestinya akan bertepuk dua belah tangan. Apabila bertepuk sebelah tangan, pastinya hasrat prinsip tadi tidak tercapai. Impian pasti terputus di tengah jalan.

    Dengan prinsip tersebut, pertengahan tahun 2007, saya mengambil keputusan untuk menemukan 'makwe' saya dengan keluarga saya. 'makwe' (sekarang ini isteri saya) datang dari Bandar Pekan ke kampung saya dengan meniki bas dengan ditemani abangnya dan anak saudaranya.

    Setelah bertemu dengan ibu dan ayah saya, dia pun pulang semula dengan menaiki bas. Malamnya selepas pertemuan itu, ayah saya membebel panjang kepada saya. Saya tidak ingat apa asas yang dibebelkan ketika itu.

    Apa yang saya ingat cuma 'perenggan' terakhir bebelannya yang mensyaratkan saya sekiranya saya mahu berkahwin, saya hendaklah membeli kereta terlebih dahulu. Sejak dari itu, saya mula memasang strategi untuk membeli sebuah kereta.

    Tidak terlintas pun difikiran saya akan dapat membeli kereta. Pada ketika itu, saya tidak nampak peluang untuk membeli sebuah kereta. Maklumlah gaji ketika itu sangat rendah. Namun, rezeki yang tidak disangka-sangka apabila majikan telah naikkan gaji saya daripada RM650.00 kepada RM850.00 seperti yang pernah beliau nyatakan kepada saya sebelum ini.

    Pada ketika itu juga majikan mendapat pelbagai projek bekalan termasuklah bekalan ke pasar raya, bekalan ke Empress Hotel, bekalan telur, bekalan ayam segar dan katering. Jadinya, kami kakitanganyya memang banyak kerja lebih masa yang membolehkan kami mendapat gaji hampir RM2,000.00 sebulan (Kadang kala lebih).

Perodua 660 'panda'

    Pada penghujung tahun 2007, saya memberanikan diri mencuba memohon pinjaman kenderaan. Cuba kereta baru juga iaitu Perodua Viva 660 manual. Itulah kereta baharu yang paling murah pada ketika itu.

    Dengan tidak disangka-sangka, pinjaman saya diluluskan! Wah! Tidak terlintas di fikiran saya akan membeli kereta dan memiliki kereta, malah sebuah kereta baharu!!. Maklumlah pada ketika itu agak susah untuk memiliki sebuah kereta tidak seperti hari ini. Hari ini sebuah kereta terpakai boleh didapati dengan harga serendah RM1,500.00. Walaupun kondisi tidak memuaskan, memadailah untuk membawa keluarga terlindung dari hujan dan panas.

Harga sebuah Proton Saga pada hari ini. Beli dan baiki sedikit-sedikit hingga tip-top. Harga Proton Saga ketika saya membeli Perodua Viva dahulu, paling murah boleh didapati ialah RM6,000.00

    Alhamdulillah akhirnya. Mungkin Allah permudahkan kerana tujuan dan niat yang baik. Namun kami tidak terus berkahwin kerana perlu mengumpulkan wang dahulu. Dengan gaji seperti itu, banyak habis untuk makan dan minum sahaja. Motorsikal TZM tadi saya telah hantar dan tinggal di kampung setelah membeli kereta.

   Pada awal tahun 2008, saya mengambil keputusan untuk bekerja secara sambilan di sebuah restoran berhampiran tempat kerja. Waktu kerja saya di syarikat ialah bermula jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang. Jadi, selepas waktu bekerja, saya akan masuk kerja di restoran sekitar jam 6.00 petang hingga jam 12/1 tengah malam. Terpaksalah berkorban masa dan tenaga demi prinsip saya.


    Tugas saya ialah pembancuh air. Saya mendapat gaji harian. Makan malam diberikan percuma. Jadi, jimatlah kos makan malam saya. Kalau tidak salah saya nama restoran itu ialah Cafe De Mama. Namun kini, restoran ini sudah ditutup. Tidak pasti mengapa ditutup. Terima kasih kepada Along, tokey Cafe De Mama atas peluang yang diberikan. Pengalaman dapat ditimba sebagai pembancuh air.

    Pertengahan tahun 2008, rezeki saya kian baik. Saya telah mendapat surat tawaran untuk berkhidmat dengan Kerajaan. Saya membuat surat perletakan jawatan kepada syarikat Komatra Sajian Sdn. Bhd. dan memaklumkan kepada pemilik restoran Cafe De Mama. Tanggal 18 Mei 2008, saya melaporkan diri sebagai seorang penjawat awam di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Timur, Kemaman (INTIM).

Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Timur, Kemaman (INTIM)

    Di INTIM, kami menjalani kursus asas selama 2 minggu. Selesai kursus, kami dipecahkan kepada beberapa Kementerian. Saya telah diletakkan dibawah Kementerian Pengangkuatan (MOT). Selesai kursus, kami melapor diri pula di Kementerian masing-masing. Dari kementerian, kami dihantar pula ke Jabatan-Jabatan dan agensi di bawah Kementerian tersebut.

Seronok bertugas di Putrajaya. Banyak pengalaman ditimba.

    Saya ditempatkan di sebuah Jabatan di Putrajaya. Berbekalkan baki gaji di Komatra Sajian Sdn. Bhd. dan Cafe De Mama tadi, dapatlah saya menyewa bilik, makan minum dan kos minyak pergi balik kerja sementara nak dapat gaji dengan Kerajaan (Ketika itu, bulan ke-3 baru dapat gaji). Pelajaran komputer di Komatra la yang menyebabkan saya pandai komputer untuk bekerja di Jabatan Kerajaan hingga kini. Terima kasih sekali lagi kepada Dato' Syed.

Dah macam cerita drama Melayu pula main dengan Dato'2 ni. Hahaha.. Namun, ini adalah realiti.

Rumah yang saya sewa bilik dahulu di Kampung Limau Manis, berhampiran Desa Pinggiran Putra. Saya tengok dari Google Street View, rumah ini sudah ditinggalkan.

    Maka habislah simpanan sebelum ini. Perancangan perkahwinan ditangguh sebentar. Duit dikumpul sekali lagi. Dalam pada itu, saya terjebak pula dengan syarikat MLM (Multi Level Marketing) yang menyebabkan saya membuat pinjaman peribadi dengan jumlah yang besar.

    Geng-geng MLM ini memang target Penjawat Awam yang baru dilantik kerana mereka ini rata-rata tidak tahu apa pasal MLM dan slip gaji masih cantik untuk buat pinjaman peribadi. Disamping itu, ramai yang baru dilantik ini berfikir mahu cari pendapatan yang lebih sementara masih muda untuk membantu keluarga di kampung.

    Mujurlah saya tidak melaburkan keseluruhan pinjaman tadi untuk MLM. Dapatlah saya belikan sebuah kereta Proton Saga Knight 1.5 terpakai secara tunai kepada ayah saya dengan harga RM5,500.00.

Proton Saga Knight. Kredit gambar: Careta


    Inilah kereta pertama ayah saya. Rindu pula mengenangkan Proton Saga ini. Tidak sangka saya dapat belikan sebuah kereta untuk ayah. Tidak sangka kami akan memiliki kereta seorang sebiji. Selama ini tidak pernah terbayangkan pun bagaimana nak membeli kereta kerana ketika itu, hendak membeli kereta bukan perkara mudah kerana harganya mahal dan dokumen tidak kukuh untuk membuat pinjaman kenderaan.





    Suspensi dan enjin Proton Saga ini memang lasak. Kami siap guna untuk angkut kayu pokok nibung lagi dari sawah ke rumah. Sebatang kayu nibung itu tidak kurang dari 20kg+/-. Kayu nibung itu kami guna untuk bina kandang lembu.

    Dek kerana gaji telah ditolak bayaran pinjaman peribadi tadi, proses menyimpan untuk berkahwin menjadi sedikit rumit. Namun, perancangan kami tidak berhenti di situ. Kami berdua terus membuat simpanan untuk perkahwinan. Dalam masa yang sama, kami membuat persiapan dengan mengikuti kursus perkahwinan.

    Rezeki tidak terputus di situ. Sekitar hujung tahun 2008, isteri saya mendapat panggilan temuduga sebagai penjawat awam. Alhamdulillah temuduga tersebut berjaya dan pada awal tahun 2009, isteri telah menerima surat pelantikan jawatan yang ditemuduga sebelum ini. Hendak dijadikan jodoh dan kebetulan, isteri juga mendapat penempatan di Kementerian Pengangkutan, Kementerian yang sama dengan saya dan diletakkan dibawah Jabatan di Putrajaya juga. Lain Jabatan dari saya.

Kementerian Pengangkutan Malaysa, dahulu di Parcel D. Kini ni Presint 4

    Selepas isteri selesai melapor diri pada awal tahun 2009, akhirnya kami mengatur sebuah majlis pertunangan yang amat ringkas. Kami tidak bertunang lama. Sekitar 2 bulan + + sahaja. Itupun kerana perlukan masa untuk persiapan perkahwinan. Kami ingin segera melangsungkan perkahwinan bagi mengelakkan membuat perkara yang terlarang berikutan kami sama-sama telah bekerja di Putrajaya, mudah berjumpa dan jauh dari kawalan keluarga.

Flat Hijau Presint 9 Putrajaya

    Saya masih lagi menyewa bilik di Kampung Limau Manis. Manakala isteri menyewa bilik di Apartment Putra Harmoni yang lebih dikenali sebagai Flat Hijau di Presint 9 Putrajaya. Kini, tiba giliran isteri pula tiada gaji. Gaji sayalah ketika itu yang menampung kehidupan kami berdua.

Food court Presint 9 Putrajaya

    Kebiasaannya kami akan makan di food court ini kerana makanan di sini banyak pilihan dengan harga yang munasabah, masih murah la pada ketika itu. Kami masih ingat pada ketika itu terpaksa berjimat untuk makan. Pernah kami makan malam hanya sepinggan nasi lemak dikongsi dua orang kerana duit belanja hampir habis. Ada lagi peristiwa berjimat lain tentang makan ini yang menjadi ingatan kami ketika itu.

    Apakan daya. Elok-elok gaji bersih sekitar RM1,300.00, terjerat dengan MLM dan buat pinjaman peribadi, gaji bersih tinggal sekitar RM900.00 sahaja. RM900 itulah kami hendak menampung sewa bilik kami berdua, nak makan minum kami berdua sepanjang bulan. Nasihat saya kepada yang baru menjawat jawatan Kerajaan, elakkan sebarang 'bisnes'. Kerjalah dahulu dan nikmati gaji anda setahun dua. Jika nak 'bisnes' juga, buatlah satu perniagaan yang real, yang sebenar, yang ada urusniaga, produk yang ada pembeli.

    Hmm.. Apa boleh buat. Ambil pengajaran sahajalah selepas itu. Memang dah serik apabila dengar apa-apa 'bisnes'. Baiklah, Sambung ke Bab seterusnya.


Sekian, jangan lupa subscribe channel Youtube saya di SUNAN ( https://www.youtube.com/c/SUNANofficial ) . Terima kasih.

Ulasan

Terima kasih kerana memberi komen/cadangan kepada Sunan.my. Kami akan berusaha membalas secepat mungkin. Bantu support kami dengan subscribe channel Youtube SUNAN di https://www.youtube.com/c/SUNANmy dan jangan skip google ads.

HUBUNGI SUNAN.my

Hantar

ARKIB CERITA

IKUTI KAMI